Friday, 18 October 2013

KAIL LAUT MERSING

Penghujung Syawal iaitu pada 28hb Ogos, saya terpanggil untuk menyertai jiran saya untuk mengail ikan di lautan Mersing berdekatan dengan Pulau Pemanggil di Johor. Perjalanan dari Meru ke jeti Tanjung Leman memakan masa hampir 7 jam. Kami bertolak lebih kurang pukul 12.30 pagi dan sampai ke destinasi pukul 7 pagi. Mengikut pengiraan saya kami berhenti rehat sebentar di tiga kawasan rehat dan rawat di sepanjang laluan lebuh raya dan kami bersarapan pagi di simpang terakhir laluan ke jeti Tanjung Leman dari Felda Tenggaroh. Agak mencabar laluan felda tersebut pada waktu subuh yang dipenuhi tanaman kelapa sawit apatah lagi keaadaan jalan yang gelap dan ditambah pula pandangan kami di selaputi embun tebal sepanjang pejalanan di daerah tersebut.
VIEW DARI JETI TANJUNG LEMAN

Saya yang sememangnya jarang memancing di laut dalam amat teruja untuk menyertai jiran saya ini apatah lagi bayaraan bot dan penginapan dibiyai sepenuhnya oleh seorang kontraktor berbangsa cina iaitu kenalan jiran saya. Jiran saya yang saya panggil sebagai Abang Halim merupakan seorang ketua audit untuk projek-projek besar dalam sektor pembinaan, jadi ramai kenalan beliau merupakan kontraktor besar berlesen kelas A. Kali terakhir saya memancing di laut dalam adalah pada 8 tahun lepas di Pulau Sembilan Lumut Perak. Itu pun saya mengalami mabuk yang membataskan aktiviti saya dia atas bos. Mungkin sebab saya tidak bersedia dari segi fizikal dan mental juga keaadan bot yang agak kecil dan berserabut. Malah sepanjang perjalan dia atas bot kami disajikan dengan aroma minyak diesel yang agak kuat.
Di sebabkan keterujaan saya untuk mengalami pengalaman memancing ikan laut dalam, saya melayari beberapa laman web untuk mencari segala petua untuk berada di lautan dari segi petua elak mabuk, peralatan memancing dan keperluan keselamatan yang perlu di guna pakai semasa kecemasan. Manalah tahu sesuatu tak di duga akan berlaku. Kita merancang namun tuhan yang menentukan. Dari segi fizikal dan mental saya hanya perlu waktu tidur yang cukup seminggu sebelum belayar dan mind set kena kosong dan yakin kan diri yang anda tak akan mabuk dan tiada apa-apa yang bakal berlaku. Ini penting kerana jika kita berkeadaan letih tidak cukup tidur dan anda mula risau yang anda akan mabuk sehingga menyusahkan rakan lain maka anda akan rasa runsing dan hilang focus untuk memancing dan masa itulah anda akan mengalami bermacam-macam hal dalam kepala yang mengakibatkan anda mabuk atau terus takut untuk berada di tepi bot. Jadi nasihat saya abaikan apa-apa prasangka buruk, kurangkan pergerakkan dan kurangkan menunduk kepala untuk melakukan sesuatu dia atas bot. Minum air secukupnya dan elakkan tidur secara mendatar tanpa alas di bahagian kepala. In Shaa Allah anda tidak akan mabuk. Sebab dengan petua-petua yang saya amalkan tadi saya langsung tidak mengalami mabuk sedikit pun walaupun sudah bertahun saya tidak belayar kelaut. Mungkin kekerapan saya menjadi tekong bot semasa memancing udang di sungai memberi kelebihan saya untuk berasa selesa di atas laut selams 3 hari.
Setelah sampai di jeti Tanjung Leman, kami disambut oleh pemilik bot dan segala peratan kami di punggah ke dalam bot. Saya bertambah teruja bila bot yang bakal kami gunakan bersaiz agak besar malah kelihatan bersih di bahagian dalam. Dapur masak juga amat bersih dan selesa. Penjalan kami dari jeti Tanjung Leman ke chalet tempat kediaman kami selama 3 hari mengambil masa 45 minit iaitu pulau yang dikenali sebagai Pulau Sibu.
                                                                                                                                                           
 Setibanya kami di Pulau Sibu kami meninggal kan beg pakaian dan barang-barang yang tidak perlu bagi mengurangkan beban dan memberi keselesaan di ruang dalaman bot. Pulau Sibu, adalah pulau yang sungguh indah pada pandangan saya dimana memang sepanjang persisiran pantainya amay bersih dan lebih mengkagumkan air lautnya begitu jernih sehingga kita dapat melihat segala hidupan marin dan karang dari atas jeti. Malah tekong bakal memberi tunjuk ajar untuk mencandat sotong hanya dari atas jeti pada sebelah malam.
VIEW DARI JETI PULAU SIBU
    Selepas semua barang keperluan untuk berada dilaut telah siap kami pun bertolak dari jeti lebih kurang pukul 11 pagi menuju ke kawasan unjang yang telah tersedia ada berdekatan Pulau Pemanggil. Tujuan ke unjang tersebut adalah untuk mencari ikan umpan seperti gelama, selar, kembung dan ikan kunyit. Memang seronok melayan spesis ikan bekawanan di kawasan unjang tersebut. Bayangkan mata apollo yang bermata 6 penuh dengan ikan setiap kali di angkat. Letak saja 2 minit bermacam ikan sangkut di mata kail. Sampai lenguh tangan melayan joran ringan tersebut. Tidak sampai 2 jam sudah penuh 2 ice box coldman bersaiz sederhana besar. Kami yang sangat pada awalnya teruja untuk melayan ikan yang lebih besar terus lupa untuk membaling umpan menggunakan rod laut dalam sebab terlalu seronok melayan apollo. Segala ibu dan anak selar, kembong dan gelama kami tapau. Paling seronok kerapu bangla pun banyak yang kami daratkan dan saiznya juga agak besar juga. Memang kawasan unjang ini amat popular di kalangan pemancing kerana ramai tekong bot akan berlabuh disini mencari sebelum membawa pemancing ke kawasan yang lebih dalam.
                                             
Setelah merasa cukup umpan yang kami pancing, kami pun mula belayar ke kawasan pancingang yang berkedalaman lebih kurang 200 meter untuk mencari ikan seperti Alu alu, Ebek, Kerapu Bara atau Ikan Merah. Setelah tekong mendapat spot yang agak bagus kami pun memulakan dengan pancingan bottom dengan menggunakan umpan selar atau sotong. Sambil itu rakan saya menggunakan cara pancingan hanyut dengan berumpankan kembung hidup dan menggunakan belon sebagai pelampong atau signal. Rupanya dengan cara itu ternyata berbaloi dimana kurang setengah jam umpan hanyut tersebut terue disambar ikan Baraccuda atau alu alu. Di sebab kan pancingan cara hanyut tidak menggunakan batu ladung maka melayan joran adalah amat mencabar dan seronok kerana pemancing hanya merasa berat ikan menarik tali tanpa merasa beban batu sebagaimana pancingan secara dasar yang menggunakan ladung yang bersaiz besar. Kami yang melihat berasa seronok melihat rakan melayan henjutan Alu alu tersebut. Dan bermula dari saat itu joran rakan yang lain mula mendapatkan henjutan demi henjutan hingga kerap kali terjadinya double hook dan ruang tepi bot mula kelam kabut. Mana tidaknya, setiap pemancing menggunakan 2 atau 3 joran, jadi memang tak terlayan la..bermacam-macam ikan kami daratkan seperti kerapu, Alu Alu, Ebek , Yu cicak dan lain lain.

       Memang seronok apa lagi semua rakan rakan langsung tidak ada tanda mabuk , jadi semua dapat bekerjasama mendaratkan ikan. Saya benar-benar merasa puas kerana impian saya untuk memancing ikan laut dalam tercapai. Perjalanan saya selama tiga hari di lautan amat berbaloi apatah lagi saya bebas dari mabuk yang pada awalnya menghantui diri saya.
   Seperti yang saya katakan tadi, untuk mengelakkan mabuk dilaut sebenarnya kita memerlukan kekuatan mental, mind set kena focus perkara yang positif selain melayan alunan ombak bagai berada di atas jonkang jongkit. Selain itu perlunya kita menyedut udara segar di atas bot bagi meringankan kepala yang mula mual dan bergelora. In Sha Allah anda akan berasa selesa. Apa yang saya dapat katakan untuk trip kali ini ialah amat puas hati dan mungkin lain kali jika ada peluang untuk datang lagi ke Pulau ini saya akan lebih bersedia dari segi peralatan dan jadual yang lebih teratur.



Tuesday, 1 October 2013

Haruan Lombong Jalan Monyet

Baru-baru ini saya tergerak hati hendak memancing ikan di satu tasik besar di laluan antara Rawang ke jalan Kundang. Laluan dari arah Aeon Anggun Rawang ke arah Tasik Puteri anda akan menemui simpang ke Kundang sebelah kiri. Jalan ini juga dikenali sebagai Jalan Monyet oleh penduduk sekitar. Ia kerana jika anda melalui jalan tersebut anda akan melihat puluhan monyet berada di tepi jalan menunggu pemandu-pemandu yang prihatin melempar lebihan makanan ke arah mereka. Rata-rata ramai pemandu akan menghentikan kenderaan mereka untuk memberi makanan sambil bergurau dengan haiwan-haiwan ini. Oleh sebab itu mereka menggelarkan jalan tersebut sebagai Jalan Monyet.
Berbekal set joran ringan bait caster Abu pro Max, saya meredah semak samun dan meranduk air parit kecil untuk masuk ke bahagian tepi tasik tersebut bagi memudahkan saya melontar popper, namun terlampau banyak pokok-pokok yang menghalang batang joran untuk di lontar. Lebih ngeri lagi kaki saya di serang oleh pacat hutan sebesar batang pensil! Sumpah saya amat ngeri dan geli dengan size lintah tersebut apatah lagi yang memanjat kaki lebih dari 3 ekot. Nasib baik saya bawa rokok dan saya tenyeh bara rokok ke badan pacat ter sebut...
Setelah menemui spot yang sesuai saya mulakan dengan menggunakan gewang jenis spoon. Namun setelah belasan balingan langsung tak bersambut walaupun saya nampak ada kelibat anak toman yang mengejar bila spoon yang saya karau hampir sampai ke tebing. Lalu saya tukar strategi menggunakan popper Ofmer, dan setelah 3 kali balingan gewang saya bersambut agar keras dan tali kekili saya di tarik deras. Saya rasakan ikan yang menyentap umpan ini jika tidak toman pasti kaloi. Tetapi saya lihat kelibat ikan tersebut berwarna hitam dan panjang. Tali saya bersimpang siur di bawa oleh ikan tersebut namun saya tetap bertahan, apa yang merisaukan saya ialah jika ikan tersebut membawa gewang masuk ke bawah pohon menjalar dan berduri yang biasa banyak tumbuh di kawasan tasik atau lombong tinggal.
Setelah hampit 15 minit melayan kerenah ikan tersebut akhirnya haiwan tersebut mengalah ketebing dan baru lah jelas ikan tersebut adalah ikan haruan yg bersaiz agak besar lebih kurang sebesar lengan orang dewasa yang saya agak dalam anggaran 2kilorgram lebih..di sebabkan saya berseorangan maka sukar sedikit hendak mengambil gambar jadi agak mengecewakan sedikit gambar yang saya sertakan ini.


Selepas ambil gambar lebih kurang, saya lepaskan semula ikan tersebut ke tempat asal nya supaya ianya akan membiakkan lebih banyak zuriat kerana ikan ini juga spesis yang terancam sejak pengamal perubatan mengesahkan spesis ini amat mujarab untuk memulihkan pelbagai masalah penyakit kronik dan ini menjadikan kan nya spesis buruan. Malah harganya makin meningkat di kedai-kedai yang menjual spesis ini sehingga RM20 sekilo!
 Disebabkan hujan mulai turun saya rasa lebih baik saya keluar dari kawasan belukar ini kerana saya pasti laluan masuk tadi akan di tenggelami air dah ini bakal menyukarkan saya untuk keluar kejalan besar dan mengelakkan sang pacat datang menyerang bila kawasan situ mulai basah.